Friday, June 12, 2009

Nilai Mutiara

Mutiara merupakan hasil khazanah dari dasar laut yang sangat bernilai. Mutiara mempunyai gayanya yang eksklusif memandangkan kilauannya tidak luntur atau lapuk ditelan zaman. Hanya pada mereka yang benar-benar mengenali mutiara sahaja mengetahui nilai mutiara sebenar.


Siapa menduga objek bulat yang keras ini dihasilkan oleh hidupan daripada keluarga laut seperti tiram yang bercengkerang keras. Sesungguhnya ia adalah ciptaan unik dan indah Kurniaan Allah kepada umatNya.


Ketinggian nilai sebutir mutiara itu terletak dari segi rupa bentuk, warna dan tekstur kulitnya. Setiap satu daripada unsur ini menjamin nilai dan ketahanan mutiara tersebut. Di sebalik semua faktor tersebut, mutiara yang bermutu tinggi sering terletak kepada daya kilauian semulajadinya. Semakin bulat, licin tanpa kesan kecacatan semulajadi pada permukaannya seperti calar maka semakin tinggi harga sebutir mutiara asli tersebut.

Oleh kerana harga mutiara asli atau semulajadi terlalu mahal dan hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya dan kerabat diraja sahaja maka pada awal 1900-an mutiara ternakan ataupun mutiara air tawar telah dimulakan untuk membolehkan mutiara dapat dimiliki oleh semua golongan masyarakat.

Hanya mereka yang benar-benar meminatinya saja mampu menghayati nilai sebenar sebutir mutiara yang baik. Asasnya, mutiara asli mempunyai lapan bentuk lazim iaitu bulat, separa bulat, bentuk butang, titisan air mata (eyedrop), pear, bujur (oval), bulatan (circled) dan baroque iaitu bentuk yang dianggap luar daripada kebiasaan.

Selain bentuk, warna juga menjadi ukuran dalam penilaian mutiara.Selain putih dan hitam, ada banyak lagi warna yang menjadi rebutan seperti keemasan, merah jambu lembut, perak, gangsa, kebiru-biruan, perang, dan sebagainya. Selain itu, lokasi asal mutiara juga mempengaruhi kualiti dan nilainya. Sebagai contoh, mutiara hitam Tahiti dikatakan antara yang paling mahal kerana ia sukar diperoleh. Lokasi pengeluar mutiara asli yang popular seperti mutiara dari Laut Selatan, Australia, China, Jepun dan Filipina.

No comments:

Post a Comment